Jun 19th, 2009 | By administrator | Category: Berita Eksklusif

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Jawatankuasa induk pindaan perlembagaan telah memaklumkan kepada UMNO Bahagian dan Cawangan untuk mengumpulkan input yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan dan melaluinya jawatankuasa akan mengadakan bengkel sebelum perhimpunan agung khas.

“Ia bertujuan untuk membincangkan cara terbaik bagi memenuhi citarasa generasi muda, bagaimana untuk memberi peluang kepada semua ahli secara sama rata, perjuangan yang perlu diubah selaras dengan peredaran masa dan untuk memastikan ia kekal relevan,” kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan.

Di samping itu, beliau memberi jaminan akan berusaha bagi membolehkan cadangan pindaan yang baru diterima oleh pihak jawatankuasa pelaksana sekurang-kurangnya sebelum Perhimpunan Agung UMNO.

Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai perkara tersebut di Menara Dato’ Onn, di sini.

Menurut beliau yang Naib Presiden UMNO, antara perkara pokok yang disentuh dalam mesyuarat ini adalah konteks perjuangan asas UMNO, memperkukuhkan peraturan baru, syarat-syarat, kuota, yuran, jumlah cukup perwakilan dan penglibatan untuk menjadi ahli di peringkat Cawangan.

“Adalah penting kepada kita untuk mengambil kira pandangan orang di luar parti dan mengikut keadaan politik masa kini.

“Dijangka selewat-lewatnya perbincangan pindaan perlembagaan UMNO ini siap dalam bulan Ogos dan selepas itu barulah akan dibawa ke peringkat nasional”, katanya lagi.
Bagi memastikan kelancaran pindaan juga, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menyatakan bahawa jawatan bagi jawatankuasa induk ini adalah bersifat tetap iaitu terdiri daripada 23 orang ahli termasuk ahli tambahan selain memutuskan agar setiap pemilihan dibuat secara serentak.

Secara kolektif, jelasnya lagi pindaan terhadap perlembagaan UMNO akan melibatkan pihak jawatankuasa dan pihak teknikal. Pihak jawatankuasa berperanan untuk membuat dasar dan mengemukakan cadangan pindaan sementara pihak teknikal yang diketuai oleh Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun akan meneliti pindaan terbabit agar tidak bercanggah daripada aspek perundangan negara.

Selain itu, beliau juga berharap supaya melalui pindaan perlembagaan ini ia akan dapat mengurangkan jurang di antara pucuk pimpinan dan akar umbi di samping dapat memperjelaskan perjuangan parti UMNO sebagai sebuah parti yang dekat dengan rakyat.
Beliau bertekad bahawa UMNO juga akan mendengar rintihan dan seterusnya memastikan bahawa parti UMNO berusaha semampu yang boleh untuk menyelesaikan apa sahaja masalah, bukan hanya kepada orang-orang Melayu tetapi juga kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Beliau juga sempat memberi komen mengenai kerajaan perpaduan dan menyatakan bahawa rakyat sudah muak dengan isu-isu politik harian.

“Sepatutnya, apa yang lebih penting ialah terus menjalankan tugas dan rakyat perlulah diletakkan sebagai keutamaan,” ujarnya.

Di samping itu, beliau menyatakan bahawa usaha untuk mengubah UMNO ke arah parti yang lebih relevan dalam konteks semasa telah pun bermula.

0 Comments:

Post a Comment



Newer Post Older Post Home