money politics


Jun 5th, 2009 | By administrator | Category: Berita Lain

SHAH ALAM, 5 Jun – Terdapat kepincangan yang selama ini disembunyikan dengan rapi oleh PAS, namun, baru-baru ini telah didedahkan sendiri oleh Ketua Dewan Ulama, Datuk Mohamed Daud Iraqi yang mendakwa bahawa berlaku budaya rasuah dan politik wang di dalam parti itu terutamanya apabila Majlis Pemilihan Tahunan di dalam parti itu.

Di dalam kes PAS ini, politik wang dilihat semakin menjadi-jadi berikutan Persidangan atau Muktamar Tahunan yang sedang berlangsung iaitu dari 3-7 Jun 2009 yang bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Dikatakan bahawa, ada segelintir individu termasuklah perwakilan yang mempraktikkan politik wang (sama ada menggunakan wang atau imbuhan lain sebagai hadiah atau sagu hati) untuk menarik perhatian dan sokongan terhadapnya di dalam parti.

Walaupun Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan dan menyatakan bahawa tidak terdapat amalan politik wang di dalam parti PAS tetapi berlainan pula pendapat Mursyidul Amnya, Datuk Abdul Aziz Nik Mat yang tidak menolak kemungkinan amalan politik wang memang wujud apatah lagi apabila melibatkan pangkat dan kuasa.

Dalam membincangkan isu berkaitan politik, tentunya tidak akan terlepas membicarakan mengenai parti politik terutamanya di dalam negara yang mengamalkan sistem pemerintahan yang bercorak demokrasi. Apa yang pasti, kuasa menjadi agenda utama.

Sesiapa yang berkuasa maka akan dapat mengawal orang lain. Untuk mengekalkan kuasa pula seseorang itu haruslah pandai mengambil hati para pengundinya.

Rasuah atau politik wang boleh kita definisikan sebagai perbuatan mempergunakan wang ringgit dalam suatu pertandingan untuk mempengaruhi seseorang bagi menyokong seseorang calon yang bertanding. Selain daripada pemberian wang, pemberian berbentuk hadiah seperti kain pelekat atau kain batik, pemberian tender atau kontrak yang bertujuan mempengaruhi pengundi adalah sesuatu yang digolongkan sebagai amalan politik wang.

Mungkin tidak banyak tapi sedikit dan tanpa disedari amalan politik wang ini wujud di dalam intitusi politik. Tentunya, PAS juga tidak terkecuali kerana PAS merupakan sebuah parti politik yang ingin mengekalkan kuasanya.

Di sini dapatlah disimpulkan bahawa parti PAS bukanlah parti yang bersih daripada amalan politik kotor seperti yang dianggap sebelum ini. Amalan politik wang di dalam parti ini sememangnya telah lama wujud cuma tiada pendedahan yang dibuat.

Lantaran itu, PAS sendiri perlu sedar bahawa jangan asyik menunding jari kepada pihak lain sebaliknya selesaikan dahulu isu di dalam partinya sendiri sebelum menjaga tepi kain parti lain. Cuba-cubalah cermin diri sendiri dan berfikir sebelum melihat kesalahan orang lain.


May 20th, 2009 | By administrator | Category: Rencana

BELAKANGAN ini, isu mengenai perletakan jawatan oleh wakil rakyat dan juga isu pilihan raya kecil menjadi satu senario politik terbaru di Negara kita. Secara amnya, pilihan raya kecil akan diadakan jika berlaku kekosongan kerusi di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) disebabkan oleh kematian atau perletakan jawatan.

Namun begitu, perletakan jawatan oleh wakil rakyat kini menjadi suatu mainan politik atau taktik politik di mana mereka meletak jawatan tanpa alasan yang kukuh.

Dalam hal ini, Datuk Mohd Harun selaku peguam dan juga Penasihat Undang-undang UMNO menerusi 'Forum Bual Bicara' - Trend Pilihan Raya Kecil' di PWTC baru-baru ini telah mencadangkan agar ada wakil rakyat yang tampil membawa usul supaya undang-undang lompat parti di dalam Perlembagaan berkaitan pilihan raya kecil dipinda. Ini bertujuan agar mencegah berlakunya wakil rakyat yang meletak jawatan sesuka hati setelah memenangi kerusi di dalam sesuatu pilihan raya sebelumnya.

Sebelum ini juga, cadangan-cadangan tersebut pernah diperkatakan lataran tingkah pembangkang yang menjadikan pilihan raya kecil sebagai satu permainan dan sandiwara dalam politik mereka. Pindaan undang-undang ini adalah perlu bagi mengelakkan kes wakil rakyat meletak jawatan tanpa satu sebab yang munasabah.

Lihatlah bagaimana kelakuan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang meletakkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Penanti pada 16 April lalu dengan alasan untuk menyambung pelajarannya ke peringkat pasca siswazah serta ingin menumpukan perhatian dan lebih masa kepada keluarga. Akibat daripada perletakan jawatan ini maka pilihan kecil akan bakal di adakan pada 31 Mei 2009 ini.

Fikirkanlah kewajarannya, adakah logik alasan yang diberikan iaitu mengutamakan kepentingan peribadi melebihi keperluan rakyat dan masyarakat setempat yang yang telah memberi kepercayaan kepada beliau dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.

Kita juga maklum dengan tindakan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail isteri kepada Anwar Ibrahim meletakkan jawatannya di Permatang Pauh semata-mata kerana ingin memberi laluan kepada suaminya untuk menjadi wakil rakyat. Beliau meletakkan jawatan pada 31 Julai 2008 dan pilihan raya kecil telah diadakan pada 26 Ogos 2008. Keputusan 'Ibu segala Pilihan Raya Kecil' ini telah menyaksikan Anwar Ibrahim menang dan telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan juga Ketua Pembangkang.

Kes-kes seperti ini tidak boleh dipandang ringan oleh kita semua. Ini adalah kerana trend pilihan raya kecil boleh memberi kesan yang besar kepada negara. Meletak jawatan dan mengadakan pilihan raya kecil merupakan satu trend terbaru parti pembangkang.

Jika semakin ramai yang bertindak meletakkan jawatan dengan sewenang-wenangnya maka setiap kali itulah pilihan raya kecil perlu diadakan bagi memilih wakil rakyat yang baru. Ini adalah kerana, sesuatu kawasan yang telah dipertandingkan dan dimenangi terpaksa membuat pilihan raya sekali lagi bagi menentukan wakil rakyat yang baru setelah wakil rakyat yang telah menang meletakkan jawatan.

Pilihan raya kecil ini pula hanya akan membazir duit rakyat dan duit kerajaan sahaja. Rakyat juga terpaksa keluar mengundi sekali lagi. Bukan sahaja membazirkan wang dan tenaga malah turut mengorbankan masa yang sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan lain terutamanya untuk pembangunan negara. Pilihan raya kecil hanya akan menjadi beban kepada kerajaan kerana ianya memerlukan perbelanjaan yang besar.

Perbuatan meletak jawatan adalah satu perbuatan yang tidak wajar dan ia tidak sepatutnya dijadikan sebagai alat mainan politik negara. Tindakan meletak jawatan bukan sahaja menyusahkan kerajaan untuk mengadakan pilihan raya kecil tetapi turut memberi masalah kepada rakyat untuk keluar mengundi.

Tidak terdapat sebarang undang-undang di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang perletakkan jawatan seseorang wakil rakyat itu. Oleh itu, cadangan mengenai pindaan undang-undang yang mampu mengawal gejala meletak jawatan ini dilihat sebagai sesuatu yang perlu supaya tidak wujud rasa tidak puas hati sama ada di kalangan individu tertentu mahupun rakyat jelata.


Newer Posts Older Posts Home