Jun 19th, 2009 | By administrator | Category: Berita Eksklusif

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Jawatankuasa induk pindaan perlembagaan telah memaklumkan kepada UMNO Bahagian dan Cawangan untuk mengumpulkan input yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan dan melaluinya jawatankuasa akan mengadakan bengkel sebelum perhimpunan agung khas.

“Ia bertujuan untuk membincangkan cara terbaik bagi memenuhi citarasa generasi muda, bagaimana untuk memberi peluang kepada semua ahli secara sama rata, perjuangan yang perlu diubah selaras dengan peredaran masa dan untuk memastikan ia kekal relevan,” kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan.

Di samping itu, beliau memberi jaminan akan berusaha bagi membolehkan cadangan pindaan yang baru diterima oleh pihak jawatankuasa pelaksana sekurang-kurangnya sebelum Perhimpunan Agung UMNO.

Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai perkara tersebut di Menara Dato’ Onn, di sini.

Menurut beliau yang Naib Presiden UMNO, antara perkara pokok yang disentuh dalam mesyuarat ini adalah konteks perjuangan asas UMNO, memperkukuhkan peraturan baru, syarat-syarat, kuota, yuran, jumlah cukup perwakilan dan penglibatan untuk menjadi ahli di peringkat Cawangan.

“Adalah penting kepada kita untuk mengambil kira pandangan orang di luar parti dan mengikut keadaan politik masa kini.

“Dijangka selewat-lewatnya perbincangan pindaan perlembagaan UMNO ini siap dalam bulan Ogos dan selepas itu barulah akan dibawa ke peringkat nasional”, katanya lagi.
Bagi memastikan kelancaran pindaan juga, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menyatakan bahawa jawatan bagi jawatankuasa induk ini adalah bersifat tetap iaitu terdiri daripada 23 orang ahli termasuk ahli tambahan selain memutuskan agar setiap pemilihan dibuat secara serentak.

Secara kolektif, jelasnya lagi pindaan terhadap perlembagaan UMNO akan melibatkan pihak jawatankuasa dan pihak teknikal. Pihak jawatankuasa berperanan untuk membuat dasar dan mengemukakan cadangan pindaan sementara pihak teknikal yang diketuai oleh Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun akan meneliti pindaan terbabit agar tidak bercanggah daripada aspek perundangan negara.

Selain itu, beliau juga berharap supaya melalui pindaan perlembagaan ini ia akan dapat mengurangkan jurang di antara pucuk pimpinan dan akar umbi di samping dapat memperjelaskan perjuangan parti UMNO sebagai sebuah parti yang dekat dengan rakyat.
Beliau bertekad bahawa UMNO juga akan mendengar rintihan dan seterusnya memastikan bahawa parti UMNO berusaha semampu yang boleh untuk menyelesaikan apa sahaja masalah, bukan hanya kepada orang-orang Melayu tetapi juga kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Beliau juga sempat memberi komen mengenai kerajaan perpaduan dan menyatakan bahawa rakyat sudah muak dengan isu-isu politik harian.

“Sepatutnya, apa yang lebih penting ialah terus menjalankan tugas dan rakyat perlulah diletakkan sebagai keutamaan,” ujarnya.

Di samping itu, beliau menyatakan bahawa usaha untuk mengubah UMNO ke arah parti yang lebih relevan dalam konteks semasa telah pun bermula.

Note:

Minggu lalu agak sibuk. Menghadiri aktiviti pertandingan sukan di antara jabatan-jabatan di ibu pejabat UMNO (boling, futsal), mengurus rombongan yang membuat lawatan (dari UMNO Melaka dan Johor), menghadiri 'press conference' mesyuarat pindaan perlembagaan UMNO, membuat laporan berkenaan 'press conference' (untuk umno-online) dan menghadiri family day ibu pejabat UMNO di ILMU, Janda Baik, Bentong, Pahang.

Pada 11 Jun 2009, pihak Perhubungan Awam dan Media dengan berbesar hati telah menyelia kedatangan rombongan daripada UMNO Bahagian Beruas, Perak ke Ibu Pejabat UMNO Malaysia.


Rombongan ini telah diiring ke Dewan Seri Endon, tingkat 23 menara Dato’ Onn untuk sesi taklimat dan soal jawab bersama En. Abdul Hamid Abdul Satar yang mewakili unit Perhubungan Awam dan Media UMNO Malaysia. Pelbagai isu telah dikupas mengenai UMNO. Antaranya sejarah penubuhan UMNO, hala tuju perjuangan UMNO dan cadangan-cadangan untuk memperkuatkan lagi parti kesayangan kita ini. Taklimat ini adalah sangat penting untuk mendedahkan para peserta kita kepada sejarah pertubuhan melayu ini.


Seterusnya, sesi soal jawab dibuka bagi memberi ruang kepada peserta untuk melontarkan pendapat, soalan atau buah fikiran mereka.


Majlis ini telah bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 12 tengahari. Pihak UMNO juga telah memberi cenderahati kepada para peserta berupa buku sejarah perjuangan UMNO dan juga cd UMNO. Begitu juga dengan pihak UMNO Bahagian Beruas yang turut memberikan cenderahati kepada wakil Unit Perhubungan Awam dan Media sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih atas layanan pada hari itu.


Seterusnya, kumpulan rombongan seramai 40 orang ini telah disajikan dengan sedikit jamuan makan bertempat di Kafe Merdeka tinggkat 4 bangunan Menara Dato’ Onn.


Kunjungan seperti ini adalah amat digalakkan pada masa hadapan. Ini adalah kerana, kunjungan ini mampu mengeratkan lagi perhubungan sesama ahli-ahli UMNO terutamanya antara golongan grassroot dan golongan atasan UMNO. Selain itu, melalui program lawatan ini, UMNO juga dapat mendengar secara terus keluhan mereka dan memberi respon kepada pelbagai persoalan yang ditimbulkan.


Jun 8th, 2009 | By administrator | Category: Berita Eksklusif

Parti Islam Se-Malaysia atau lebih dikenali sebagai PAS merupakan sebuah oraganisasi yang telah didaftarkan pada 31 Mei 1955 dan ditubuhkan dengan matlamat perjuangan untuk mewujudkan sebuah negara dan masyarakat di dalam pemerintahan yang menekankan nilai-nilai dan hukum-hukum Islam serta menuju keredhaan Allah di samping mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Perlembagaan awal PAS yang digariskan mempunyai empat tujuan iaitu pertama, mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggara segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.

Kedua, menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh Negara.

Ketiga, memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.

Akhir sekali yang keempat, bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran Islam dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.

Keempat-empat tujuan merupakan matlamat yang ingin dicapai oleh PAS. Namun, mutakhir ini kita menyaksikan bahawa apa yang diperjuangkan oleh parti ini semakin hari semakin menyimpang dari tujuan asalnya. Bukan berniat untuk mengutuk cuma sekadar ingin mengingatkan kepada PAS supaya mereka sedar akan apa yang selama ini mereka perjuangkan dan pertahankan.

Cuba kita teliti satu persatu. Tujuan yang pertama, ketiga dan keempat secara terang-terangan telah pun tercemar apabila PAS mengambil keputusan untuk bersekutu dengan parti DAP yang idealoginya secara jelas bertentangan dengan perjuangan PAS.

PAS juga menjadi sebuah parti yang semakin liberal apabila berkerjasama dengan parti PKR. Di sini kita lihat ada isu percanggahan yang amat ketara di dalam PAS.

Kalau dulu berjuang disebabkan oleh ideologi yang kuat untuk membentuk Negara Islam, kini berjuang disebabkan oleh ‘kuasa’. Caranya ialah dengan menjalinkan hubungan yang baik dengan parti bukan Islam untuk mencapai matlamat atau tujuan terbaru parti ini iaitu ‘menumbangkan parti BN’.

Maka dengan itu, secara automatik tujuan yang kedua itu pun turut terjejas. Bagaimana mahu menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh Negara jika sudah bersekutu dengan parti bukan Islam? Di mana sudah manifesto ‘hukum hudud’ yang suatu ketika dulu pernah disebut-sebutkan? Langsung tiada kedengaran kini manifesto radikal itu.

Kita juga melihat bahawa di dalam parti PAS itu sendiri terdapat bibit perpecahan kerana kepimpinan berpuak-puak. Terdapat puak ulama, puak professional dan puak erdogan (pro-pakatan rakyat).

Berlaku juga perebuatan kuasa di kalangan pemimpin-pemimpin PAS untuk merebut jawatan-jawatan tertinggi. Konflik dalaman ini perlu diselesaikan dengan segera sebelum imej PAS menjadi bertambah buruk di mata rakyat. Bagaimana PAS mahu menyatukan umat Islam jika kesatuan di dalam parti pun susah untuk dicapai dan dilaksanakan?

Inilah dilema PAS. Sama ada berjuang demi ‘Islam’ ataupun berjuang demi ‘Kuasa’ semata-mata untuk survival di dalam dunia politik. Nampaknya PAS sudah tidak tetap dengan pendirian sendiri.

money politics


Jun 5th, 2009 | By administrator | Category: Berita Lain

SHAH ALAM, 5 Jun – Terdapat kepincangan yang selama ini disembunyikan dengan rapi oleh PAS, namun, baru-baru ini telah didedahkan sendiri oleh Ketua Dewan Ulama, Datuk Mohamed Daud Iraqi yang mendakwa bahawa berlaku budaya rasuah dan politik wang di dalam parti itu terutamanya apabila Majlis Pemilihan Tahunan di dalam parti itu.

Di dalam kes PAS ini, politik wang dilihat semakin menjadi-jadi berikutan Persidangan atau Muktamar Tahunan yang sedang berlangsung iaitu dari 3-7 Jun 2009 yang bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Dikatakan bahawa, ada segelintir individu termasuklah perwakilan yang mempraktikkan politik wang (sama ada menggunakan wang atau imbuhan lain sebagai hadiah atau sagu hati) untuk menarik perhatian dan sokongan terhadapnya di dalam parti.

Walaupun Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan dan menyatakan bahawa tidak terdapat amalan politik wang di dalam parti PAS tetapi berlainan pula pendapat Mursyidul Amnya, Datuk Abdul Aziz Nik Mat yang tidak menolak kemungkinan amalan politik wang memang wujud apatah lagi apabila melibatkan pangkat dan kuasa.

Dalam membincangkan isu berkaitan politik, tentunya tidak akan terlepas membicarakan mengenai parti politik terutamanya di dalam negara yang mengamalkan sistem pemerintahan yang bercorak demokrasi. Apa yang pasti, kuasa menjadi agenda utama.

Sesiapa yang berkuasa maka akan dapat mengawal orang lain. Untuk mengekalkan kuasa pula seseorang itu haruslah pandai mengambil hati para pengundinya.

Rasuah atau politik wang boleh kita definisikan sebagai perbuatan mempergunakan wang ringgit dalam suatu pertandingan untuk mempengaruhi seseorang bagi menyokong seseorang calon yang bertanding. Selain daripada pemberian wang, pemberian berbentuk hadiah seperti kain pelekat atau kain batik, pemberian tender atau kontrak yang bertujuan mempengaruhi pengundi adalah sesuatu yang digolongkan sebagai amalan politik wang.

Mungkin tidak banyak tapi sedikit dan tanpa disedari amalan politik wang ini wujud di dalam intitusi politik. Tentunya, PAS juga tidak terkecuali kerana PAS merupakan sebuah parti politik yang ingin mengekalkan kuasanya.

Di sini dapatlah disimpulkan bahawa parti PAS bukanlah parti yang bersih daripada amalan politik kotor seperti yang dianggap sebelum ini. Amalan politik wang di dalam parti ini sememangnya telah lama wujud cuma tiada pendedahan yang dibuat.

Lantaran itu, PAS sendiri perlu sedar bahawa jangan asyik menunding jari kepada pihak lain sebaliknya selesaikan dahulu isu di dalam partinya sendiri sebelum menjaga tepi kain parti lain. Cuba-cubalah cermin diri sendiri dan berfikir sebelum melihat kesalahan orang lain.


May 20th, 2009 | By administrator | Category: Rencana

BELAKANGAN ini, isu mengenai perletakan jawatan oleh wakil rakyat dan juga isu pilihan raya kecil menjadi satu senario politik terbaru di Negara kita. Secara amnya, pilihan raya kecil akan diadakan jika berlaku kekosongan kerusi di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) disebabkan oleh kematian atau perletakan jawatan.

Namun begitu, perletakan jawatan oleh wakil rakyat kini menjadi suatu mainan politik atau taktik politik di mana mereka meletak jawatan tanpa alasan yang kukuh.

Dalam hal ini, Datuk Mohd Harun selaku peguam dan juga Penasihat Undang-undang UMNO menerusi 'Forum Bual Bicara' - Trend Pilihan Raya Kecil' di PWTC baru-baru ini telah mencadangkan agar ada wakil rakyat yang tampil membawa usul supaya undang-undang lompat parti di dalam Perlembagaan berkaitan pilihan raya kecil dipinda. Ini bertujuan agar mencegah berlakunya wakil rakyat yang meletak jawatan sesuka hati setelah memenangi kerusi di dalam sesuatu pilihan raya sebelumnya.

Sebelum ini juga, cadangan-cadangan tersebut pernah diperkatakan lataran tingkah pembangkang yang menjadikan pilihan raya kecil sebagai satu permainan dan sandiwara dalam politik mereka. Pindaan undang-undang ini adalah perlu bagi mengelakkan kes wakil rakyat meletak jawatan tanpa satu sebab yang munasabah.

Lihatlah bagaimana kelakuan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang meletakkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Penanti pada 16 April lalu dengan alasan untuk menyambung pelajarannya ke peringkat pasca siswazah serta ingin menumpukan perhatian dan lebih masa kepada keluarga. Akibat daripada perletakan jawatan ini maka pilihan kecil akan bakal di adakan pada 31 Mei 2009 ini.

Fikirkanlah kewajarannya, adakah logik alasan yang diberikan iaitu mengutamakan kepentingan peribadi melebihi keperluan rakyat dan masyarakat setempat yang yang telah memberi kepercayaan kepada beliau dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.

Kita juga maklum dengan tindakan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail isteri kepada Anwar Ibrahim meletakkan jawatannya di Permatang Pauh semata-mata kerana ingin memberi laluan kepada suaminya untuk menjadi wakil rakyat. Beliau meletakkan jawatan pada 31 Julai 2008 dan pilihan raya kecil telah diadakan pada 26 Ogos 2008. Keputusan 'Ibu segala Pilihan Raya Kecil' ini telah menyaksikan Anwar Ibrahim menang dan telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan juga Ketua Pembangkang.

Kes-kes seperti ini tidak boleh dipandang ringan oleh kita semua. Ini adalah kerana trend pilihan raya kecil boleh memberi kesan yang besar kepada negara. Meletak jawatan dan mengadakan pilihan raya kecil merupakan satu trend terbaru parti pembangkang.

Jika semakin ramai yang bertindak meletakkan jawatan dengan sewenang-wenangnya maka setiap kali itulah pilihan raya kecil perlu diadakan bagi memilih wakil rakyat yang baru. Ini adalah kerana, sesuatu kawasan yang telah dipertandingkan dan dimenangi terpaksa membuat pilihan raya sekali lagi bagi menentukan wakil rakyat yang baru setelah wakil rakyat yang telah menang meletakkan jawatan.

Pilihan raya kecil ini pula hanya akan membazir duit rakyat dan duit kerajaan sahaja. Rakyat juga terpaksa keluar mengundi sekali lagi. Bukan sahaja membazirkan wang dan tenaga malah turut mengorbankan masa yang sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan lain terutamanya untuk pembangunan negara. Pilihan raya kecil hanya akan menjadi beban kepada kerajaan kerana ianya memerlukan perbelanjaan yang besar.

Perbuatan meletak jawatan adalah satu perbuatan yang tidak wajar dan ia tidak sepatutnya dijadikan sebagai alat mainan politik negara. Tindakan meletak jawatan bukan sahaja menyusahkan kerajaan untuk mengadakan pilihan raya kecil tetapi turut memberi masalah kepada rakyat untuk keluar mengundi.

Tidak terdapat sebarang undang-undang di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang perletakkan jawatan seseorang wakil rakyat itu. Oleh itu, cadangan mengenai pindaan undang-undang yang mampu mengawal gejala meletak jawatan ini dilihat sebagai sesuatu yang perlu supaya tidak wujud rasa tidak puas hati sama ada di kalangan individu tertentu mahupun rakyat jelata.


Kembali Lagi...

Setelah seminggu menyepi tanpa sebarang post...minggu ini saya menyambung semula aktiviti blog saya. Minggu lalu saya sibuk dengan rencana yang disiapkan untuk dipost ke dalam laman web umno-online.

Sebenarnya, blog ini dibangunkan untuk menceritakan perihal 'lompat parti'. Namun perbincangan mengenai 'lompat parti' nampaknya telah sampai ke kesimpulannya. Post mengenai isu 'lompat parti akan di upload di masa hadapan jika ada yang berkaitan. Untuk post kali ini bukan mengenai 'lompat parti'...tetapi rencana yang telah disiapkan untuk umno-online.

Dan post yang seterusnya pula dijangka berkisar mengenai keadaan politik semasa negara. Rasanya ia suatu idea yang bagus supaya blog ini akan terus updated.

(^_^)

angel VS devil???


Perbincangan 2

Kesimpulannya, hal berkenaan lompat parti ini adalah berkait rapat dengan isu cadangan pembuatan undang-undang anti lompat parti, isu perlembagaan dan isu sistem demokrasi. Lompat parti dilihat sebagai satu langkah survival bagi sesebuah parti untuk mengekalkan kuasa mereka memerintah negara.

Menyentuh hal berkaitan dengan cadangan pembuatan undang-undang lompat parti, dilihat ada yang menyokong dan ada yang kurang bersetuju. Mereka yang bersetuju tentulah daripada kalangan parti yang mengalami ahli yang melompat parti dan kurang bersetuju pula ialah di kalangan parti yang melakukan lompat parti.

Apa yg penting kini ialah bagaimana semua parti di negara kita bertindak mengawal diri daripada melakukan lompat parti dan cuba untuk memikirkan hal berkenan rakyat. Wakil rakyat tidak sepatutnya bertindak seorang diri dan mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan perasaan rakyat.

Walau apa saja alasan mengapa wakil rakyat berkenaan melompat parti, perlu difikirkan akibat yang akan terjadi kemudian.

Apapun jalan penyelesaian yang diambil oleh kerajaan diharap dapat meredakan fenomena yang tidak sihat ini. Demikianlah menurut kata-kata ahli falsafah politik terawal, Aristotle iaiatu 'man is by nature a political animal'.

Ini bermaksud, manusia itu ialah secara semulajadinya ialah haiwan politik negara kita sekarang di mana manusia sudah tidak mempunyai moral dan etika di dalam berpolitik.

Renung-renungkan...

Newer Posts Older Posts Home