Jun 8th, 2009 | By administrator | Category: Berita Eksklusif

Parti Islam Se-Malaysia atau lebih dikenali sebagai PAS merupakan sebuah oraganisasi yang telah didaftarkan pada 31 Mei 1955 dan ditubuhkan dengan matlamat perjuangan untuk mewujudkan sebuah negara dan masyarakat di dalam pemerintahan yang menekankan nilai-nilai dan hukum-hukum Islam serta menuju keredhaan Allah di samping mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Perlembagaan awal PAS yang digariskan mempunyai empat tujuan iaitu pertama, mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggara segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.

Kedua, menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh Negara.

Ketiga, memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.

Akhir sekali yang keempat, bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran Islam dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.

Keempat-empat tujuan merupakan matlamat yang ingin dicapai oleh PAS. Namun, mutakhir ini kita menyaksikan bahawa apa yang diperjuangkan oleh parti ini semakin hari semakin menyimpang dari tujuan asalnya. Bukan berniat untuk mengutuk cuma sekadar ingin mengingatkan kepada PAS supaya mereka sedar akan apa yang selama ini mereka perjuangkan dan pertahankan.

Cuba kita teliti satu persatu. Tujuan yang pertama, ketiga dan keempat secara terang-terangan telah pun tercemar apabila PAS mengambil keputusan untuk bersekutu dengan parti DAP yang idealoginya secara jelas bertentangan dengan perjuangan PAS.

PAS juga menjadi sebuah parti yang semakin liberal apabila berkerjasama dengan parti PKR. Di sini kita lihat ada isu percanggahan yang amat ketara di dalam PAS.

Kalau dulu berjuang disebabkan oleh ideologi yang kuat untuk membentuk Negara Islam, kini berjuang disebabkan oleh ‘kuasa’. Caranya ialah dengan menjalinkan hubungan yang baik dengan parti bukan Islam untuk mencapai matlamat atau tujuan terbaru parti ini iaitu ‘menumbangkan parti BN’.

Maka dengan itu, secara automatik tujuan yang kedua itu pun turut terjejas. Bagaimana mahu menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh Negara jika sudah bersekutu dengan parti bukan Islam? Di mana sudah manifesto ‘hukum hudud’ yang suatu ketika dulu pernah disebut-sebutkan? Langsung tiada kedengaran kini manifesto radikal itu.

Kita juga melihat bahawa di dalam parti PAS itu sendiri terdapat bibit perpecahan kerana kepimpinan berpuak-puak. Terdapat puak ulama, puak professional dan puak erdogan (pro-pakatan rakyat).

Berlaku juga perebuatan kuasa di kalangan pemimpin-pemimpin PAS untuk merebut jawatan-jawatan tertinggi. Konflik dalaman ini perlu diselesaikan dengan segera sebelum imej PAS menjadi bertambah buruk di mata rakyat. Bagaimana PAS mahu menyatukan umat Islam jika kesatuan di dalam parti pun susah untuk dicapai dan dilaksanakan?

Inilah dilema PAS. Sama ada berjuang demi ‘Islam’ ataupun berjuang demi ‘Kuasa’ semata-mata untuk survival di dalam dunia politik. Nampaknya PAS sudah tidak tetap dengan pendirian sendiri.

Newer Posts Older Posts Home